Rayuan ditolak, hukuman penjara 26 bulan bekas Pengarah JPS KL bermula hari ini
PUTRAJAYA - Bekas Pengarah Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abu Bakar Mohd Yusof mula menjalani hukuman penjara 26 bulan hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah antara 2014 dan 2015.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan akhir Abu Bakar terhadap sabitan serta hukumannya.
Mahkamah mengeluarkan waran komital bagi membolehkan Abu Bakar memulakan hukuman penjara serta-merta.
Sebelum ini, beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM45,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Lelaki berusia 74 tahun itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 26 bulan dan denda RM133,326.40 oleh Mahkamah Sesyen pada 2018 selepas didapati bersalah menerima rasuah berupa penginapan hotel dan wang tunai RM20,000 daripada seorang pemilik syarikat antara 2014 dan 2015.
Rayuannya ke Mahkamah Tinggi telah ditolak pada 2022, yang mendorongnya membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.
Abu Bakar bagaimanapun telah menjelaskan denda tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Azmi ketika membacakan keputusan sebulat suara panel hakim berkata, rayuan Abu Bakar tiada mempunyai merit dan turut menegaskan keterangan terhadap perayu adalah kukuh dan tidak dapat dipertikaikan.
Beliau juga memutuskan bahawa keterangan dua saksi pihak pendakwaan adalah boleh dipercayai dan mereka bukanlah rakan sejenayah seperti yang dihujahkan oleh pihak pembelaan.
Mahkamah turut menolak permohonan Abu Bakar agar hukuman penjara berjalan serentak, sekali gus mengesahkan bahawa beliau akan menjalani hukuman penjara selama 26 bulan secara berturutan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Pada 23 November 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,486.40 ke atas Abu Bakar kerana menerima rasuah berupa penginapan hotel daripada Mazlan Jamalludin sebagai dorongan untuk melantik syarikat milik Mazlan, Warna Gergasi Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja kontrak di kawasan Empangan Batu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang antara 28 November 2014 hingga 30 November 2014.
Abu Bakar turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM22,840 kerana menerima rasuah berupa penginapan hotel daripada Mazlan sebagai balasan untuk mengekalkan kontrak tersebut. Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 12 Jun 2015 hingga 14 Jun 2015.
Selain itu, beliau dikenakan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM100,000 kerana menerima rasuah wang tunai RM20,000 daripada Mazlan untuk tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di hotel yang sama di Port Dickson pada 14 Jun 2015.
Dalam kes berkaitan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan denda RM222,500 ke atas bekas pelukis pelan di jabatan itu, Mohd Nasir Mohd Isa, 53, kerana menerima suapan berbentuk penginapan hotel dan wang tunai RM40,500 daripada pemilik syarikat yang sama.
Dalam prosiding rayuan hari ini, Abu Bakar diwakili oleh peguam Ainur Azalia Ayoub manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noralis Mat dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!