Gaji rendah bukan alasan terlibat rasuah
PETALING JAYA - Dakwaan kononnya gaji rendah serta kekangan hidup bukan alasan mengakibatkan seseorang itu terjerumus dalam rasuah.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, terdapat kes tangkapan rasuah direkodkan melibatkan rampasan wang bernilai ratusan ribu dan jutaan ringgit serta kenderaan mewah.
"Kononnya rasuah berlaku atas faktor desakan hidup, masalah gaji, bagi saya ini bukan punca utama masalah ini berlaku.
"Rasuah ini berlaku hanya kerana keinginan untuk hidup mewah dan ini dapat ditafsirkan berdasarkan jumlah hasil rampasan menerusi tangkapan dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Cabaran Masa Depan Integriti dan Anti Rasuah sempena Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kelana Jaya pada Isnin.
Mohamad Fauzi berkata, kurangnya kesedaran selain pegangan agama yang lemah menjadi faktor penyumbang terjerumus dalam jenayah rasuah ini.
"Kesedaran orang ramai dalam melaporkan perbuatan rasuah ini dilihat masih rendah dan seharusnya sikap membenci rasuah ini perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara ini.
"Kekuatan asas pegangan agama amat penting bagi mengelak terpedaya atau terlibat dengan rasuah," katanya.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan rasuah ini diperangi sepenuhnya.
"SPRM tidak dapat bertindak sendirian tanpa sokongan masyarakat, sentiasa peka dengan isu melibatkan rasuah ini dan terus lapor kepada SPRM sekiranya mendapati terdapat mana-mana elemen rasuah.
"Bila kita lihat hari ini media sosial dijadikan medium untuk melaporkan berkaitan isu rasuah, ini menjadikan maklumat itu sukar kerana ia telah berterabur dan bercampur dengan pelbagai perspektif dan andaian, ini yang menyukarkan siasatan dijalankan," katanya.
Forum ini turut sama membincangkan tentang peranan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) selain menekankan peranan belia dalam isu rasuah.
Turut sama dalam forum ini adalah Timbalan Presiden Persatuan Pengamal Anti Bribery Management System Malaysia Mohd Rezaidi Ishak, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!