Ejen seludup PATI gagal sogok polis RM50,000
KUALA LUMPUR - Ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis dengan bayaran RM50,000 konon untuk membebaskan dirinya serta tiga rakan selepas ditahan terlibat penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kota Bharu, Kelantan.
Namun, perbuatan suspek lelaki tempatan berusia 24 itu tahun hanya menjerat diri selepas cubaannya menawarkan wang rasuah ditolak pegawai operasi terbabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Taring Wawasan Kelantan telah dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu.
Katanya, kira-kira jam 6.30 pagi, pasukan operasi telah mengesan tiga kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Ativa dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang.
"Ketiga-tiga kenderaan itu telah ditahan sebelum tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 32 tahun disyaki berperanan sebagai tekong.
"Turut ditahan 16 PATI warga Myanmar membabitkan 11 lelaki, empat wanita serta seorang kanak-kanak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, soal siasat terhadap salah seorang tekong membawa kepada penangkapan ejen sindiket berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Menurut Razarudin, ketika dalam perjalanan ke balai polis, ejen terbabit telah merayu untuk dibebaskan termasuk tiga tekong warga tempatan.
"Ejen itu cuba menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada pegawai operasi berkenaan, namun telah diberi amaran agar tidak berbuat demikian.
"Suspek bagaimanapun cuba menyogok sekali lagi sebelum dia ditahan untuk tindakan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya.
Tambahnya, selain sitaan kereta, operasi ini telah merampas telefon bimbit dan wang tunai RM50,000.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut
Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!