WHO terus siasat wabak penyakit misteri di Congo
GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menyiasat wabak penyakit misteri yang belum dikenal pasti di Republik Demokratik Congo, yang setakat ini menjangkiti lebih 400 orang sejak Oktober, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.
Menurut kenyataan WHO, sebanyak 406 kes dan 31 kematian dilaporkan di wilayah terpencil Panzi, yang terletak lebih 700 kilometer dari ibu kota Kinshasa.
Kementerian Kesihatan Congo turut melaporkan beberapa kematian lain di luar kemudahan kesihatan, namun masih memerlukan siasatan dan pengesahan lanjut.
Majoriti kes dilaporkan melibatkan kanak-kanak, terutama mereka yang berumur bawah lima tahun, menurut WHO.
“Berdasarkan gejala klinikal dan simptom yang dilaporkan serta kematian berkaitan, radang paru-paru akut, influenza, Covid-19, campak dan malaria sedang diteliti sebagai kemungkinan punca, dengan kekurangan zat makanan dikenal pasti sebagai faktor penyumbang,” menurut kenyataan itu.
Malaria, yang merupakan penyakit lazim di kawasan terbabit dipercayai berkemungkinan menjadi punca atau antara penyumbang kepada kes yang dilaporkan.
“Ujian makmal sedang giat dijalankan untuk menentukan punca sebenar. Pada masa ini, tidak dapat diketepikan kemungkinan lebih satu penyakit menyumbang kepada jumlah kes dan kematian,” menurut WHO.
Simptom penyakit ini termasuk demam, sakit kepala, batuk, selesema dan sakit badan. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!