Covid-19: Jepun tingkat usaha kenal pasti mereka yang dijangkiti

Kerajaan Jepun pada Khamis mengumumkan pakej bernilai 15 bilion yen (kira-kira AS$140 juta) untuk pembangunan vaksin, ubat-ubatan dan langkah pencegahan. -Foto AFP
Kerajaan Jepun pada Khamis mengumumkan pakej bernilai 15 bilion yen (kira-kira AS$140 juta) untuk pembangunan vaksin, ubat-ubatan dan langkah pencegahan. -Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Jepun memperkasakan usaha untuk mengenal pasti dan merawat mereka yang dijangkiti COVID-19, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Jumaat lapor agensi berita Sputnik.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan Jepun Katsunobu Kato mengesahkan kematian pertama akibat Covid-19 di negara itu. Mangsa seorang wanita berusia 80-an, tinggal di wilayah Kanagawa.

Ia kematian kedua yang dilaporkan di luar China selepas lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia di Filipina pada 2 Februari.

"Kerajaan bekerjasama rapat dengan pentadbiran tempatan, meluaskan kemampuan ujian virus dan sistem rawatan untuk mereka yang dijangkiti.

"Langkah-langkah itu terus diperkasa serentak untuk mencegah komplikasi dalam kalangan mereka yang dijangkiti," kata Abe.

Abe turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kerajaan Jepun pada Khamis mengumumkan pakej bernilai 15 bilion yen (kira-kira AS$140 juta) untuk pembangunan vaksin, ubat-ubatan dan langkah pencegahan.

Di samping itu, perniagaan yang mengalami kerugian - terutamanya industri pelancongan dan hotel - akan menerima bantuan dan pinjaman berjumlah 500 bilion yen (kira-kira AS$4.5 bilion).

Artikel Berkaitan:

Jumlah kes disahkan di Jepun kini mencecah 252 orang, termasuk lebih 200 penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh di Yokohama. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!