TH salur sumbangan bantuan kepada lebih 50,000 mangsa banjir
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) bersama syarikat kumpulannya menyalurkan pelbagai bantuan bencana kepada lebih 50,000 mangsa terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) itu akan mengagihkan kotak makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan petugas barisan hadapan.
Menurutnya, program bantuan bencana itu penting bagi membantu mangsa bencana alam di seluruh negara.
“TH amat prihatin dan terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutamanya di pantai timur yang mana turut mengakibatkan beberapa pejabat cawangan di negeri-negeri terlibat ditangguhkan operasi sementara.
“Oleh itu, TH bersolidariti bersama komuniti yang terkesan dan hadir menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, menurut Syed Hamadah, sumbangan sebanyak RM500,000 diserahkan kepada YFBM untuk menyediakan dan mengelola bantuan sebanyak 10,000 kotak makanan yang mengandungi nasi segera, lauk segera, makanan kering serta air mineral.
Tambah beliau, selain TH, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) turut menganjurkan Program Prihatin Banjir dengan menawarkan penangguhan ansuran pembiayaan rumah, peribadi dan kenderaan selama enam bulan.
Dalam pada itu, BIMB juga memperuntukkan bantuan sokongan kewangan berjumlah RM250,000 dan melancarkan Tabung Bantuan Banjir bagi membantu kakitangan yang terkesan.
“Kami juga telah mengenal pasti beberapa anggota TH yang terkesan dengan musibah banjir ini bagi menyalurkan bantuan dan membantu sedikit sebanyak bukan sahaja untuk meringankan tekanan, malah memulihkan harapan mereka untuk terus bersemangat dan bangkit menghadapi ujian ini.
“Setiap kotak dianggarkan dapat memenuhi keperluan makanan bernutrisi dan berkhasiat untuk sebuah keluarga kecil ataupun lima orang selama satu minggu.Ia akan diagihkan di PPS Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Di samping itu, BIMB turut melaksanakan Kemudahan Bantuan Bencana khusus buat perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang menyediakan pembiayaan modal kerja serta membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak,” ujarnya.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata, Syarikat Takaful Malaysia Berhad turut memberikan sumbangan bantuan kewangan dan bantuan tuntutan insurans segera untuk kenderaan mahupun kesihatan bagi mangsa yang terkesan.
“Sukarelawan di kalangan kakitangan turut dikerahkan bagi usaha bantuan banjir dan pasca banjir. TH Properties Sdn Bhd turut menyumbang bantuan bekalan asas harian kepada mangsa-mangsa banjir dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!