Seminggu bersihkan kesan lumpur, peniaga pasrah jika banjir berulang
HULU TERENGGANU - Walaupun belum hilang rasa penat setelah hampir seminggu membersihkan sisa lumpur, seorang peniaga kedai makan di sini mengakui pasrah terhadap sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang bakal melanda.
Fatimah Deraman, 52, berkata, masih segar dalam ingatannya tragedi air naik mendadak sehingga hampir menenggelamkan kedai makan dan rumah pusaka didiaminya di Kampung Pasir Dula, di sini.
Menurutnya, bencana banjir melanda daerah itu pada 29 November lalu disifatkan lebih buruk berbanding kejadian sama pada 2022 kerana rumah berkenaan dinaiki air sedalam 8 meter.
Berkongsi detik cekas itu, Fatimah berkata, berlaku dua tragedi kepala air di kawasan rumahnya di mana kejadian pertama berlaku jam 4 pagi dan kepala air paling besar melanda jam 3 petang hari yang sama.
"Selepas dilanda kepala air rumah saya dipenuhi lumpur dan merosakkan pelbagai barangan termasuk perkakasan yang digunakan untuk berniaga kedai makan.
"Saya ambil masa hampir seminggu untuk bersihkan kotoran yang melekat pada barangan, itu pun belum habis dan banyak lagi yang perlu dibersihkan.
"Nak buat macam mana lagi, mahu tidak mahu, saya pasrah sahaja jika banjir kembali melanda," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Jelas Fatimah, banjir yang berlaku menyebabkan banyak kerosakan dan dia menganggarkan nilai kerugian ditanggung melebihi RM5,000.
"Sebenarnya saya berhasrat untuk membina rumah terapung seperti dilakukan oleh seorang mangsa banjir yang tular di Kemaman, namun ia perlukan modal.
"Saya rasa lebih banyak barangan boleh di selamatkan sekiranya rumah terapung itu berjaya dibina," katanya.
Sementara itu, adiknya, Aminah, 38, berkata, bencana banjir yang berlaku menyebabkan barangan yang diletakkan di tempat tinggi turut ditenggelami air.
"Banyak lagi barangan yang belum siap dibersihkan selepas perancah besi dipasang di tempat tinggi dalam rumah turut musnah ditenggelami air.
"Sebab itulah saya harap dan berdoa semoga gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini tidak seteruk gelombang pertama sebelum ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!