Lelaki warga emas didenda RM1,500 gaduh rebut parkir kereta
KUALA LUMPUR - Seorang warga emas hari ini didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku memukul seorang lelaki dalam perebutan tempat letak kereta, dua bulan lepas.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhi hukuman tersebut ke atas Ng Heng Cye, 68, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Heng Cye didakwa memukul Leong Chee Liang, 42, sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian mata sebelah kanan, leher, lutut kanan dan tangan sebelah kanan di tepi Jalan Perisa 1, Brickfields pada 7.34 pagi 25 Oktober lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pergaduhan berlaku apabila mangsa telah mengambil dua kotak parkir menyebabkan tertuduh keluar dari kereta dan meminta Chee Liang mengalihkan kenderaannya.
Bagaimanapun, Chee Liang marah dan berlaku perbalahan kecil antara mereka yang berakhir dengan Heng Cye memukul mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Syazwani Mohd Zawawi, yang mewakil Heng Cye, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya adalah warga emas dan tidak bekerja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!