Malaysia, China perkukuh hubungan dalam sains, teknologi dan inovasi
KUALA LUMPUR - Malaysia mengulangi komitmen untuk mewujudkan kolaborasi dengan China dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi Memorandum Persefahaman ditandatangani antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains China (CAS) pada Isnin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, beliau tidak sabar melihat kedua-dua negara meneruskan usaha ke arah kecemerlangan penyelidikan di bawah kumpulan kedua Dana Penyelidikan Strategik-Request for Proposal (SRF-RFP) Program Penyelidikan Bersama Malaysia-China 2025.
"Menerusi inisiatif ini, terdapat kemungkinan geran padanan menerusi Malaysia Science Endowment (MSE) untuk membawa penyelidikan dan industri bersama bagi menyediakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dipacu permintaan dan disampaikan oleh pasaran.
"Antara bidang di bawah SRF-RFP yang boleh kita terokai ialah teknologi tenaga penstoran, vaksin manusia, teknologi angkasa, kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan teknologi bahan termaju," katanya.
MoU itu menyasarkan untuk mengembangkan skop kerjasama antara kedua-dua akademi berkenaan termasuk dalam bidang seperti neuroteknologi, AI, pertanian dan tenaga boleh baharu, ditandatangani Presiden ASM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dan Naib Presiden CAS, Prof Hongping He serta disaksikan oleh Lih Kang.
Perjanjian itu dibina daripada asas MoU yang dimeterai pada 1999, mencerminkan komitmen yang lebih kukuh dan diperbaharui antara ASM dan CAS.
Lih Kang berkata, kementerian menjangkakan penyelidikan berasaskan misi bersama dan inisiatif pembangunan yang dijalankan pada masa depan antara kedua-dua akademi itu dalam bidang kepentingan bersama antara SRF-RFP dan MoU, seperti dalam AI.
Sementara itu, Tengku Mohd Azzman yang juga Penasihat STI kepada Perdana Menteri dan Negara berkata, dengan pemeteraian MoU itu, ASM dan CAS mengukuhkan visi bersama mereka untuk memanfaatkan kemajuan saintifik demi kebaikan sejagat.
Beliau berkata, kerjasama diperbaharui ini bertujuan untuk meningkatkan inisiatif penyelidikan bersama, memudahkan pertukaran pengetahuan dan menggalakkan kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran global.
Hongping dalam pada itu menyuarakan harapannya agar menerusi MoU itu, kedua-dua negara dapat terus memperdalam kerjasama dalam lebih banyak bidang dan bersama-sama menghadapi cabaran teknologi baharu.
“Kerjasama saintifik dan teknologi penting kepada hubungan China-Malaysia dan merupakan pemacu utama kemajuan sains dan teknologi global," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!