Titah adendum: Jabatan Peguam Negara minta semua pihak hormati mahkamah
PUTRAJAYA - Semua pihak diminta agar menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan berkata, ia memandangkan rayuan dan notis usul berhubung titah adendum tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah.
"Mahkamah Rayuan telah menetapkan pendengaran bagi rayuan pada 6 Januari tahun depan," katanya pada Isnin.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak selaku perayu memfailkan notis usul untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum.
Dokumen tersebut didakwa diterima anak sulung Najib, Datuk Nizar dari Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!