Anggota penguatkuasa MPK ditahan peras ugut warga asing

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Tiga penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis sebelum memeras ugut pekerja asing berdekatan satu kedai runcit di Klang Utara, dekat sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, ketiga-tiga penguat kuasa berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun terbabit, ditahan sejurus laporan dibuat oleh pekerja asing berkenaan mengenai kejadian itu sekitar 4 petang.

“Mangsa didatangi ketiga-tiga suspek yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis dan memeriksa dokumen rakannya yang juga warga asing.

"Suspek kemudiannya telah memeras ugut sejumlah wang tunai untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas mangsa menghubungi bilik gerakan IPD Klang Utara dan berjaya menangkap ketiga-tiga suspek beberapa meter dari tempat kejadian.

Katanya, semua suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Klang memaklumkan pihaknya mengesahkan dan mengambil maklum atas penahanan tiga individu terbabit.

"Majlis Perbandaran Klang bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan. Pihak MPK juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Pekerja (Perlakuan Dan Tatatertib) Majlis Perbandaran Klang 1995 sekiranya didapati bersalah dan menjejaskan imej serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa oleh warga kerjanya," katanya menerusi satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!