Remaja lemas ketika menjala ikan di loji air
PASIR GUDANG – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan bersama tiga rakannya di loji air berhampiran Jalan Utama, Felda Cahaya Baru, Masai di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 4.17 petang.
"Setibanya di lokasi mangsa dikenali sebagai Mohamad Saril Masrabi, 14, telah terjatuh ke dalam loji ketika menjala ikan di pintu air bersama rakan-rakannya.
"Operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan menggunakan peralatan seperti 'grappling iron' dan tali sepanjang kira-kira 4.6 meter,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Katanya, mangsa berjaya ditemui jam 5.25 petang, kira-kira 0.9 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!