Nahas lima kenderaan: Van langgar ambulans berhenti rawat mangsa kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih pada Isnin.
Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih pada Isnin.
A
A
A

KAJANG - Keadaan jalan licin dan basah serta laluan menuruni bukit disyaki antara punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian jam 9.30 pagi itu, berlaku satu kemalangan berasingan di lokasi yang sama melibatkan sebuah kenderaan dan motosikal.

"Semasa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sedang memberikan rawatan awal kepada penunggang motosikal, sebuah van telah melanggar belakang ambulans yang sedang berhenti.

"Akibat pelanggaran tersebut, ambulans telah bergerak dan melanggar sebuah kenderaan dan dua motosikal serta lima orang mangsa yang berada di hadapan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

"Mangsa kemalangan mengalami kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu terutama ketika musim hujan dan keadaan permukaan jalan licin," ujarnya.

Pada Isnin, media melaporkan kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha Nouvo LC serta ambulans, van dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi.

Seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!