'Spot check' lebih sesuai cegah buli
SHAH ALAM - Kaedah pemeriksaan mengejut (spot check) oleh pihak pengurusan dilihat lebih berkesan untuk mengatasi insiden buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada berulang.
Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, pemeriksaan mengejut boleh dilakukan oleh pihak pengurusan pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam kerana mereka mempunyai akses tersebut.
Menurut bekas Ketua Perisikan Tentera Darat itu, kaedah itu dilihat lebih baik berbanding panggilan nama atau roll call kerana kadet-kadet sudah maklum waktu kehadiran warden pada tempoh tertentu.
“Kaedah roll call ini tidak sesuai untuk kadet-kadet ini kerana mereka masih lagi pelatih. Kejadian buli biasanya berlaku di dalam bilik dan jika dilakukan pemeriksaan mengejut tanpa mengira masa pasti kejadian buli dapat dielakkan
“Selain itu, kalau saya jadi komandan, saya juga akan lantik ‘ejen’ dalam kalangan kadet-kadet ini untuk menjadi mata dan telinga bagi memerhati keadaan pelatih-pelatih sepanjang masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilaporkan berkata, mengenai tindakan membuat panggilan nama atau roll call lebih kerap bagi mengelak insiden buli di ALK UPNM.
Jelasnya, Kementerian Pertahanan akan bertindak tegas dengan melaksanakan langkah penambahbaikan dari segi keselamatan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu buli.
Mengulas lanjut, jelas Khlir lagi, pemeriksaan mengejut perlu dilakukan pada waktu yang tidak diketahui oleh kadet-kadet tersebut dan kaedah ini perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan UPNM.
“Dalam pada itu, pengurusan juga perlu sentiasa bercakap dengan kadet-kadet ini tentang kepentingan memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.
“Kena tekankan kepada kadet senior mahupun junior tentang kepentingan semangat berpasukan dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), Khlir berpendapat ia perlu dilakukan di tempat tersembunyi dan hanya diketahui oleh pihak pengurusan sahaja.
Menurutnya, pihak pengurusan yang bertanggungjawab kepada ALK juga perlu sentiasa berada di sekitar kawasan tersebut bagi tujuan pemeriksaan mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!