Fokus kesejahteraan warga pendidikan
SEPANJANG tempoh dua minggu ini, tumpuan saya dan rakan-rakan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terarah kepada usaha bersepadu memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga pendidikan yang terjejas banjir.
Tinjauan yang kami laksanakan di kawasan terjejas banjir (ground zero) di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menunjukkan kesiapsiagaan di setiap peringkat dalam mendepani situasi bencana.
Persiapan awal yang telah dilaksanakan berdasarkan kepada prosedur standard operasi (SOP), latihan dan simulasi membolehkan pengoperasian pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan institusi pendidikan KPM berjalan lancar.
Pelaksanaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas pula berjalan seperti dijadualkan di bawah Ops Payung. Kerjasama erat rentas kementerian dan agensi membolehkan calon peperiksaan yang terjejas dipindahkan ke asrama dan pusat peperiksaan.
Fokus kementerian sewaktu bencana tidak hanya terbatas kepada kelancaran pengoperasian PPS dan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, ia turut merangkumi elemen kesejahteraan psikologi dan sosial. Kekuatan ini bukan baharu, ia telah sedia dibangunkan KPM sejak sekian lama dan pastinya akan terus diperkukuhkan dari masa ke masa.
Apabila berlaku sesuatu tragedi atau bencana, kaunselor akan digerakkan untuk membantu dari aspek sokongan psikososial. Ia bertujuan memulihkan emosi mangsa dan keluarga yang terjejas. Inisiatif sama dilaksanakan dalam mendepani bencana banjir yang sedang melanda beberapa negeri pada ketika ini.
Ini termasuk pelaksanaan inisiatif Social Support Team (SST) untuk memberi sokongan psikososial dan emosi serta Academic Support Team (AST) bagi membantu murid meneruskan pembelajaran sewaktu di PPS.
Tujuan utama inisiatif sokongan psikososial ini adalah untuk menyediakan intervensi bagi mengesan tanda-tanda awal gangguan psikologi dan memberikan bantuan segera serta melaksanakan pemulihan serta mengurangkan kesan jangka panjang termasuk trauma akibat bencana.
Ini penting bagi memastikan warga pendidikan yang terjejas dapat meneruskan kehidupan dan pembelajaran dalam suasana yang kondusif selepas bencana.
Modul bersesuaian digunakan bagi memastikan usaha pembugaran emosi mangsa terjejas mencapai objektifnya. Antara aktiviti yang dilaksanakan pada waktu ini bagi membantu mangsa terjejas termasuk kaunseling/bimbingan individu dan berkelompok, terapi seni, permainan, sesi bercerita, tayangan video serta motivasi.
Sehingga kini, seramai 1,580 orang jurulatih SST dan AST yang berpengalaman telah digerakkan untuk menghulurkan bantuan. Sejumlah 310 orang kaunselor terlatih turut ditugaskan membantu calon peperiksaan SPM yang terjejas banjir.Kumpulan SST mempunyai kekuatan semasa lebih 10,000 orang ahli terlatih yang terdiri dalam kalangan Guru Bimbingan dan Kaunseling. Mereka bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa jika diperlukan.
Antara pengalaman kumpulan ini termasuklah memberi bantuan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut serta bencana buatan manusia seperti insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada tahun 2013 yang menimbulkan ketakutan dan trauma dalam kalangan murid, warga pendidikan dan penduduk setempat.
Mengambil kira keupayaan dan pengalaman yang ada, saya optimis perkara terkait dengan kesejahteraan psikososial dalam bencana banjir yang sedang melanda pada ketika ini akan dapat ditangani dengan baik.
Apa yang penting adalah untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada KPM dan seluruh jentera Kerajaan Madani menguruskan bencana ini. Kerjasama menyeluruh merentas kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta batasan politik ditagih untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Kebersamaan di kala senang dan susah, dalam menempuh mehnah dan tribulasi, itulah kunci utama untuk kita bangkit sebagai sebuah negara yang lebih kuat.
* Fadhlina Sidek ialah Menteri Pendidikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!