Tahun melawat Malaysia: Sabah akan kekal jadi destinasi utama pelancong antarabangsa
KOTA KINABALU - Sabah akan kekal menjadi destinasi utama untuk pelancong antarabangsa menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk pemain industri pelancongan dan juga media.
Ia selari dengan usaha untuk menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia yang akan berlangsung pada tahun 2026.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar berkata, sehingga September lalu Malaysia telah menerima ketibaan seramai 18.4 juta pelancong antarabangsa.
"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. Kami yakin akan mencapai sasaran 27.3 juta pelancong tahun ini, dengan jumlah pendapatan sebanyak RM102.7 bilion.
"Dengan sokongan semua pihak pemain industri pelancongan dan media, kami percaya dengan momentum positif Sabah akan kekal sebagai destinasi utama untuk pelancong antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Tambah Haryanty, Tourism Malaysia komited menyediakan sokongan, sumber dan inisiatif pemasaran yang diperlukan untuk membantu meningkatkan usaha untuk memperkenalkan destinasi di negeri ini.
"Seiring dalam menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kerjasama erat bersama pihak industri pelancongan tempatan dan media amat penting.
"Ini adalah bagi menjayakan agenda nasional yang menyasarkan ketibaan seramai 35.6 juta pelancong asing dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion dan sejumlah 261 juta pelawat domestik dengan sasaran perbelanjaan sebanyak RM115.2 bilion," katanya.
Sehubungan itu, Haryanty mahu semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan Malaysia mencapai tahap baharu dalam pelancongan.
"Bukan sahaja dari segi ketibaan dan pendapatan pelancong tetapi dalam memperkayakan kehidupan pelawat kita dan mewujudkan impak positif yang berpanjangan untuk komuniti kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!