Sanusi lepas bebas satu kes hasut kait Sultan Selangor

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, berhubung satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Pas ini masih berdepan satu lagi kes menghasut, menyentuh Sultan Pahang yang ketika itu selaku Yang di-Pertuan Agong.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan satu kes hasutan terhadap Sultan Selangor dihadapi Sanusi, 50.

"Mahkamah memerintahkan Sanusi dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan hasutan terhadap Sultan Selangor manakala satu lagi kes terhadap Agong, ditetapkan untuk perbicaraan," katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, ketika prosiding lalu, mahkamah menetapkan Selasa untuk keputusan representasi bagi dua kes yang dihadapi tertuduh.

Menurutnya, terdapat perkembangan baharu berhubung permohonan yang dikemukakan tertuduh.

“Pihak kami tidak bercadang untuk meneruskan pendakwaan bagi kes pertama dan ingin menarik balik serta tidak mahu meneruskan kes.

“Saya mohon tertuduh diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes pertama sementara pertuduhan kedua, dikekalkan,” katanya yang kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili pemimpin kerajaan Kedah itu membantah permohonan DNAA yang dibuat pihak pendakwaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah (CPC), mahkamah mempunyai kuasa untuk memberi perintah DNA sepenuhnya terhadap mana-mana tertuduh.

“Sesuatu perkara tidak boleh tergantung di atas seseorang, tanpa satu penyelesaian yang muktamad.

“Memandangkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes, maka saya mohon anak guam dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 24 hingga 28 Februari tahun depan.

Sementara itu, peguam pemerhati, Datuk Seri Salehuddin Saidin turut hadir, dalam prosiding bagi pihak Sultan Selangor.

Sebelum ini, Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama dikemukakan ahli politik Pas itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 September lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!