396 lagi pekerja Boeing di Washington hilang pekerjaan
SAN FRANCISCO - Boeing memberhentikan 396 lagi pekerja di Washington, Amerika Syarikat dalam pusingan kedua pengurangan tenaga kerja, menjadikan jumlah keseluruhan pemberhentian di negeri itu hampir mencecah 2,600 orang.
Langkah terbaharu itu menyusuli notis pemberhentian kepada 2,199 pekerja di Washington bulan lalu, sebagai sebahagian daripada usaha besar-besaran Boeing untuk mengurangkan tenaga kerjanya.
Pada Oktober, syarikat itu mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 10 peratus tenaga kerja, bersamaan kira-kira 17,000 jawatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, lapor Xinhua.
Dalam pusingan pertama pemberhentian pada November, Boeing memberhentikan kira-kira 3,500 pekerja di seluruh negara, dengan Washington menerima kesan paling besar.
Negeri itu, yang merupakan tapak utama operasi Boeing dengan 66,000 pekerja, mengalami pemberhentian kerja melibatkan pelbagai jawatan dan tahap pengalaman, sekali gus menjejaskan hampir empat peratus ahli kesatuan aeroangkasa profesional syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg, ketika mengumumkan langkah ini pada Oktober menjelaskan bahawa syarikat perlu “menyelaraskan semula tenaga kerja dengan realiti kewangan semasa dan memberi tumpuan kepada keutamaan yang lebih jelas.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!