Penjual jam tiruan didenda RM84,000
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan didenda RM84,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menjual jam tangan berjenama tiruan.
Tertuduh disabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikannya 2,400 unit jam tangan yang dipakai cap dagangan secara salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM84,000 atau enam bulan penjara.
"Selain itu, kesemua barang yang disita telah diperintahkan untuk dilucut hak," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, tindakan kes berkenaan diambil selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan.
"KPDN telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah kediaman tiga tingkat di sekitar Bukit Jalil.
"Hasil serbuan mendapati pemilik rumah tersebut menjalankan aktiviti membungkus dan mengedar jam tangan tersebut melalui perkhidmatan kurier," katanya.
Dalam pada itu, KPDN memberi peringatan akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan.
"Usaha membanteras penjualan barangan tiruan ini akan dilakukan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di Malaysia sebagai komitmen negara di peringkat antarabangsa.
"KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada.
"Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman berat seperti ditetapkan oleh undang-undang, " katanya.
KPDN KL rampas 429 pakaian tiruan bernilai RM17,000
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas 429 pakaian jenama disyaki tiruan bernilai RM17,000 di ruang legar sebuah pusat beli-belah di sini pada Isnin.
KPDN Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, serbuan pada jam 2.15 petang itu susulan video tular berkaitan penjualan pakaian jenama yang disyaki tiruan secara terbuka di pusat beli-belah berkenaan.
"Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur telah menghantar pasukan risikan bagi mendapatkan maklumat awal dan pengesahan berhubung video tular berkenaan.
"Hasil risikan yang dijalankan, pihak kami dapat mengenal pasti peniaga serta jenama barangan yang mempunyai cap dagangan yang berdaftar," katanya.
Menurut kenyataan itu, KPDN Kuala Lumpur telah menghubungi wakil pemilik cap dagangan bagi mendapatkan kerjasama tuntutan cap dagangan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
"Hasil maklumat, stok baju dan seluar itu diperolehi dari sebuah pusat pemborong yang beroperasi di Jalan Kenanga, di sini.
"Peniaga itu bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bergantung kepada situasi semasa dan lokasi jualan sebelum ini adalah di sebelah selatan sebelum berpindah ke ibu kota," ujarnya.
Menurutnya, ruang legar berkenaan telah disewa bermula 22 November sehingga 1 Januari ini.
"Jualan berkenaan sempena perayaan Krismas dan sambutan tahun baru, kos sewaan berkenaan mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam operasi itu seorang lelaki warga tempatan iaitu pemilik perniagaan dan seorang wanita warga asing iaitu pekerja telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kita akan turut menyiasat kesemua pihak yang terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.
Menurutnya, tahun ini sebanyak 111 kes dilaporkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan berjumlah RM2.7 juta.
"Ia melibatkan sitaan barangan sebanyak 82,000 unit dan tangkapan 14 individu termasuk empat warga asing di bawah Ops Jeriji 5.0 sejak awal tahun sehingga kini," katanya.
KPDN turut menasihatkan pengguna agar tidak menyokong pembelian serta penjualan barang tiruan.
"Kami memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada.
"Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman berat sepertimana ditetapkan oleh undang-undang," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!