'Apa tu? Saya tidak faham,' kata penganggur yang dituduh bunuh warga emas

Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Selasa.
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Taman Bahagia, Senai, November lalu.

Chua Yun Cheng, 34, membuat pengakuan berkenaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh berkata, 'Apa itu? Saya tak faham' selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya sebelum bertanya lagi apabila pertuduhan dibacakan buat kali kedua, 'Chin atau Tan? Saya tak bunuh'.

Jurubahasa kemudian membaca semula kertas pertuduhan bersama hukuman bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum tertuduh bertanya lagi 'Apa itu 12 kali?

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yun Cheng didakwa membunuh Chin Lin Fook, 67, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Murni Taman Bahagia, Senai di sini jam 12.43 tengah malam, pada 27 November lalu.

Oleh itu, Yun Cheng didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Januari depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat serta forensik.

Pada 30 November lalu, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal berseorangan di sebuah rumah dengan kesan tikaman dan terbaring berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.

Katanya, bertindak atas maklumat, pada 3 Disember lalu, polis membuat tangkapan terhadap tertuduh di rumahnya di Senai.

Polis turut berjaya merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan ketika kejadian dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara tertuduh dengan mangsa.

Tertuduh kemudiannya direman tujuh hari sebelum dituduh di mahkamah pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!