Titah Adendum tidak dibangkit ketika mesyuarat pengampunan - Anwar

Anwar ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Titah Adendum bagi membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.

Anwar menjelaskan, beliau sendiri terlibat pada mesyuarat itu dan isu berkenaan tidak dibincangkan.

"Ia tidak termasuk dalam agenda. Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.

"Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan titah adendum yang didakwa dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari lalu yang melibatkan permohonan itu.

Sebagai rekod pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib yang juga bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Dalam pada itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menjelaskan, beliau hanya menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampuan pada 8 Disember 2023 dan seterusnya dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Artikel Berkaitan:

"Pada 29 Januari berikutnya, itu memang dihadiri oleh menteri yang bertanggungjawab iaitu Wilayah Persekutuan dan saya tidak lagi hadir.

"Setakat itu saya boleh (jelaskan), selain itu tunggu 6 Januari keputusan Mahkamah Rayuan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!