Peras pekerja kedai makan, lelaki miliki 15 rekod jenayah lampau diberkas
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang memiliki 15 rekod jenayah lampau diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes pemerasan pekerja kedai makan di Jalan Sentul Pasar, di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di hadapan depoh bas di sini, pada Ahad.
"Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah dan tujuh rekod kes narkotik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Sukarno berkata, suspek mengenali mangsa kerana selalu pergi makan di kedai tersebut.
"Tujuan suspek melakukan pemerasan untuk kegunaan harian sahaja, namun dia tidak dapat wang daripada mangsa.
"Suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!