RCI Batu Puteh: Jika ini pengkhianatan, semua pengkhianat termasuk Wan Azizah, kata Tun M
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan syor siasatan jenayah terhadapnya berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh sebagai langkah bermotifkan politik untuk menjatuhkan reputasi beliau.
Tegas bekas Perdana Menteri itu, keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 bukan dibuat oleh beliau secara bersendirian tetapi diputuskan bersama dalam mesyuarat Kabinet.
"Jika ini dianggap sebagai pengkhianatan, maka seluruh Kabinet pada ketika itu juga adalah pengkhianat termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.
Turut hadir, dua peguamnya, Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali.
Menurutnya, tujuan utama beliau menganjurkan pendapat tersebut adalah supaya Perbatuan Tengah diberi perhatian oleh kerajaan.
"Saya ada sedikit pengalaman dulu dalam memajukan Pulau Layang-Layang di perairan Sabah.
"Dari batu yang kecil kita majukan sehingga ada Short Landing Strip, kapal terbang kecil dapat mendarat, kita bina hotel, kedai dan menjadikannya sebagai pusat selam serta pelancongan," ujar beliau.
Jelasnya, Pulau Layang-Layang menyumbang kepada negara dan tidak hilang seinci pun tetapi keluasannya bertambah sehingga 35 hektar.
"Pulau ini sekarang 7.5 kilometer (km) panjang dan 2.2km lebar. Kita dapat perkuat kedaulatan negara. Kita hanya perlu buat bukan bercakap sahaja," katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap hasil laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.
Khamis lalu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir kerana menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ), yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.
Dalam pada itu, Dr Mahathir beliau menolak hasil laporan RCI terbabit kerana didakwa terdapat banyak kecacatan.
“Saya ingin bertanya dahulu rahsia, sekarang terbuka.
"Siapa yang bersetuju untuk ia dibuka? Kalau ini sudah dibuka dan bukan lagi rahsia maka mengapa kerajaan bantah permohonan saya di mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?"soal beliau.
Dr Mahathir turut mempersoalkan laporan berkenaan untuk dibahaskan kerana terdapat 47 daripada 217 muka surat dipadam (redacted).
"Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka surat laporan dipadam?” soalnya lagi.
Tambah Dr Mahathir, beliau sedia untuk berdepan dengan tindakan jenayah seperti disyorkan oleh laporan RCI berkenaan.
"Jika ada sebarang siasatan (jenayah) ke atas saya, saya bersedia.
"Ya ini adalah tindakan bermotifkan politik.
"Keseluruhan idea adalah untuk memusnahkan saya dan memanggil saya sebagai pengkhianat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!