Dear PMX: Ada cara supaya PATI serik masuk Malaysia
Dear PMX,
Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri.
Saya terpanggil untuk menulis tentang perkara ini kerana sudah lebih 20 tahun terlibat secara langsung dalam sistem pekerja asing.
Saya pernah memberikan penulisan saya kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa di Yangon, Myanmar.
Malahan idea saya supaya proses pasport disiapkan dalam tempoh satu hari telah dilaksanakan oleh Tun Abdullah.
Malaysia mempunyai lebih daripada tiga juta pendatang asing tanpa izin.
Mohon maaf saya berani pertahankan jumlah ini.
YAB perlu melihat perkara ini dengan serius kerana Malaysia kehilangan banyak wang dalam pasaran disebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini yang terus menerus menyokong sistem kiriman wang secara haram ke negara mereka.
YAB bayangkan jika tiga juta PATI kirimkan wang sebanyak RM1,000 setiap bulan ke negara asal mereka secara haram.
Berapa bilionkah kita kehilangan wang dalam pasaran?
YAB lihat di sekitar Kuala Lumpur, berapa banyak kedai, pasar mini yang bertopengkan peruncitan tetapi hakikatnya mereka sudah bertahun mengaut keuntungan dengan kerja haram mencuci duit.
Malah, pemilik warga Bangladesh ini sekarang sudah memonopoli sistem pengambilan pekerja asing ini sewenang-wenangnya.
Soalnya, apa kebaikan yang syarikat ini berikan kepada rakyat dan negara Malaysia ini?
Tidak sepatutnya syarikat ini diberikan lanjutan kontrak lagi bagi tujuan pengambilan pekerja asing ini.
Kita harus menghormati keupayaan Jabatan Imigresen Malaysia yang bertungkus-lumus bekerja tetapi syarikat lain yang mendapat kreditnya!
YAB Perdana Menteri, hakikatnya PATI ini tidak akan pernah selesai di Malaysia kerana ia adalah lubuk emas.
Setiap hari ramai dari Indonesia yang masuk dari semua pintu pelabuhan Malaysia sebagai pelancong dan akhirnya akan melarikan diri menjadi PATI.
Begitu juga dari Myanmar setiap hari akan berterusan masuk tanpa hentinya.
Laksanakanlah hukuman supaya tiada yang berani masuk untuk menjadi PATI lagi dan serbulah semua kedai-kedai haram Myanmar, Nepal dan lain-lain dengan segera.
Sekian terima kasih, insya-ALLAH semoga bermanfaat.
Jazakallah Khair. semoga YAB Perdana Menteri terus kekal istiqamah demi rakyat dan negara!
Nik
Alor Setar, Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!