Saksi nafi rela WhatsApp lucah dengan Ebit Lew
TENOM - Saksi kesembilan dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia tidak rela untuk bermesej lucah dengan pendakwah tersebut ketika berhubung.
Saksi yang juga pengadu dalam kes tersebut berkata demikian dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berhubung jawapannya kenapa dia mengatakan 'tidak setuju' pada soalan yang dikemukakan oleh peguam, Datuk Ram Singh dalam pemeriksaan balas sebelum ini.
"Saya tidak merelakan dia (Ebit Lew) WhatsApp (mesej) lucah kepada saya, saya memang membalas WhatsApp dia tapi bukan berunsur lucah.
"Disitu saya cakap 'dengan saya tidak apa', maksud saya jangan lagi buat begitu pada sesiapa, sebab nama dia terkenal," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Selasa.
Saksi dirujuk kepada soalan dalam pemeriksaan balas Ram sebelum ini yang mencadangkan kepada saksi bahawa saksi menunjukkan tanda kerelaan menerusi teks mesejnya yang mengatakan 'dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak'.
Nor Azizah kemudian meminta saksi menjelaskan kenapa dia memberikan jawapan tidak bersetuju menerusi soalan Ram yang bertanya adakah saksi menyimpang daripada tujuan program Keluarga Sunnah apabila menghantar gambar payu daranya.
"Saya tidak setuju sebab yang sebenarnya memang tujuan saya tentang program tapi dia telah mempengaruhi saya untuk perbuatan yang tidak baik," katanya.
Sebelum itu, saksi dalam keterangannya berkata, dia tidak menyangka bahawa Ebit Lew menyimpan gambar yang diberikan kepada pendakwah tersebut.
Nor Azizah merujuk soalan Ram sebelum itu yang bertanyakan kepada saksi kenapa dia tidak pernah meminta gambarnya dikembalikan semula kepadanya.
"Sebab saya fikir dia tidak menyimpan gambar yang saya telah bagi, jadi saya memang tidak terfikir untuk meminta balik," jawabnya dalam keterangan tersebut.
Dalam keterangannya menerusi pemeriksaan semula itu lagi, saksi sekali lagi menegaskan bahawa dia tiada niat untuk terus berkomunikasi dengan Ebit Lew.
"April hingga Julai, saya ada sekat dan nyahsekat sebab selepas April dia (Ebit Lew) berjanji untuk tidak lagi mengganggu selepas meminta maaf.
"Tapi selepas itu dia masih sama dan pada bulan Julai apabila dia memang tidak berubah dan saya takut terus terleka dengan permintaan seperti sebelum ini saya ambil keputusan untuk terus sekat pada bulan Julai," katanya.
Keterangannya itu merujuk kepada soalan pemeriksaan semula daripada Ram yang mengatakan saksi ada niat untuk terus berkomunikasi dengan pemilik nombor telefon tersebut.
Dalam soalan tersebut, saksi menjawab 'tidak' dan Nor Azizah meminta saksi menjelaskan kenapa berikan jawapan sedemikian.
Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi, manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!