Faridah buat hal lagi, Istana Pahang nafi perkahwinan Tengku Hassanal
KUANTAN - Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita pada April tahun depan.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya (TUDM) berkata, hantaran palsu itu dimuat naik seorang wanita di akaun Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_1).
Menurutnya, dalam hantaran tersebut, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
"Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama, " katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, orang ramai diminta agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada portal rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube menggunakan nama Kesultanan Pahang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu-gugat keharmonian khususnya Istana Pahang.
Sebelum ini pada 3 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan Istana Pahang menafikan khabar angin berkenaan istiadat Perkahwinan Diraja yang membabitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita seperti yang tular di media sosial.
Dakwaan itu mula tersebar selepas satu hantaran dimuat naik di Instagram oleh pengguna yang menggunakan nama akaun "Farida.1111111" pada 24 September.
Hantaran itu memaparkan kononnya maklumat tentang 'Istiadat Perkahwinan Diraja antara Tengku Hassanal dan Cik Farida Daud'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!