Muhyiddin peroleh pasport jumpa pakar kanser pankreas di UK


Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport sementara bagi membolehkannya mendapatkan nasihat perubatan berhubung penyakit kanser pankreasnya dan melawat cucu di United Kingdom (UK).

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk mendapatkan pasport bermula Selasa hingga 14 Januari tahun depan.

Azura berkata, Muhyiddin, 77, selaku pemohon, berhak mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik dan tiada bukti tertuduh akan melarikan diri.

Semasa prosiding, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, anak guamnya perlu bertemu pakar bedah dalam bidang pembedahan hati, saluran hempedu, pankreas dan pengurusan kanser, Profesor Brian Davidson.

“Anak guam telah membuat temu janji dan percaya, bahawa doktor ini dapat memberikan pandangan berhubung tahap kesihatannya.

“Mereka dijangka bertemu Rabu minggu hadapan, di Platinum Medical Centre, London,” katanya.

Hisyam berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu telah menjalani imbasan ‘Positron Emission Tomography Scan’ (PET) untuk memantau keadaan kanser pankreasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, hasil bacaan penanda tumor ‘CA 19-9’ menunjukkan, berlaku sedikit peningkatan melebihi paras normal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pandangan kedua berkaitan rawatan kanser tersebut.

Menurutnya, ini kerana Malaysia mempunyai tenaga pakar, perunding dan fasiliti yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi alasan permohonan kedua, pemohon mahu melawat keluarga di UK, bukan alasan yang mendesak, sebaliknya bersifat peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan 16 Januari tahun depan untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi Muhyiddin, dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli politik itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!