Asing barangan bantuan Khairul Aming untuk berlaku adil - Mohamed Fadzli

Mohamed Fadzli (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan IFE pada Selasa.
Mohamed Fadzli (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan IFE pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyangkal dakwaan beberapa pihak mengenai tindakan seorang penghulu di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1 mengasingkan barangan bantuan untuk tujuan kegunaan sendiri.

Beliau berkata, pengurusan di PPS itu berusaha berlaku adil untuk membahagikan semua bantuan yang disumbangkan kepada mangsa banjir.

"Yang banyak kita kongsi, yang sedikit kita pecah-pecahkan dan ini sebagai penjelasan terhadap kesalahfahaman yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan Oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) pada Selasa.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok mengenai barangan sumbangan Khairul Aming diasingkan dan ada yang mendakwa mangsa banjir hanya menerima sebungkus biskut serta mi segera sahaja.

Mohamed Fadzli memberitahu, semua barangan sumbangan itu terpaksa dibuat pembungkusan semula dan mangsa banjir di PPS terbabit boleh menerimanya.

Sementara itu, pada program berkenaan, kerajaan negeri menerima sebanyak 500 tilam pelbagai saiz, 850 bantal, 1000 pek makanan keperluan asas dan air mineral.

Justeru, Mohamed Fadzli meminta mangsa yang tidak menerima barangan bantuan dikehendaki perlu reda kerana kemungkinan ada yang sangat memerlukan berbanding mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri akan membahagikan bantuan yang disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seadil mungkin kepada penerima mangsa banjir di negeri ini.

"Kita akan cuba membahagikan semua bantuan kepada mangsa yang memerlukan. Mohon maaf jika ada kelemahan. Kita perlu fikirkan mungkin juga ada mangsa yang lebih memerlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!