Istana Pahang tidak akan keluarkan kenyataan berkaitan Titah Adendum

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin pada Selasa.
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Istana Pahang tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan afidavit Datuk Mohamad Nizar Najib.

Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, perkara itu juga telah diperjelaskan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, keputusan itu diambil berdasarkan nasihat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pihaknya bagi menghormati prosiding mahkamah.

"Saya selaku Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang telah menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan menyembah maklum berkenaan perkara ini.

“Berdasarkan nasihat Menteri Besar Pahang dan saya, serta bagi menghormati prosiding mahkamah, Istana Pahang tidak akan membuat sebarang kenyataan kerana ia boleh mengakibatkan subjudis terhadap kes rayuan yang sedang dibawa ke Mahkamah Rayuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes rayuan telah ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Januari tahun hadapan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Nizar memfailkan afidavit pada 5 Disember lalu sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan.

Dalam afidavit itu, Nizar mendakwa Sultan Pahang memaklumkan tentang titah tambahan yang mencadangkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!