Kerajaan diminta selesaikan isu PPR, perlu contohi England - PSM
SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk menyelesaikan segera isu projek perumahan rakyat (PPR) terutama untuk golongan B40 yang tinggal di kawasan bandar.
Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, perkara tersebut penting dan perlu diberikan perhatian sewajarnya memandangkan rumah adalah keperluan asas.
“Kita perlu mencontohi England yang mempunyai rumah perbadanan atau ‘council flat’ dan dibina oleh pihak berkuasa tempatan. Jadi, kerajaan kena buat PPR dengan harga berpatutan kepada mereka (B40).
“Contohnya seorang ibu tunggal dengan gaji minima RM1,700. Gaji sebanyak itu, kemana dia mahu pergi?
“Ini isu utama yang jika diberi perhatian atau diselesaikan dengan cepat, ramai rakyat akan dapat manfaatnya,” katanya ketika melawat Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Selasa.
Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris; Pengarang Eksekutifnya (Cetak), Azmi Tarmizi dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Turut hadir, Editor Sinar Daily, Ashwin Kumar; Setiausaha Agung PSM, Sivaranjani Manickam; Bendahari Kehormat PSM, Soh Sook Hwa dan Ahli Perhubungan PSM Negeri Pahang, Wan Zamzahidi Wan Zahid.
Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, S Arulchelvan berkata, parti politik sekarang lebih tertarik untuk membincangkan berkenaan perkara yang mendatangkan keuntungan peribadi dan bukannya isu rakyat.
“Jika tidak diperjuangkan, memang bertambah teruk dan nasib rakyat tidak akan terbela.
“Kerisauan utama kita adalah semakin lama ia dibiarkan, isu akan jadi banyak dan setiap daripadanya akan menjadi semakin teruk, jadi sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!