Netanyahu akhirnya tampil di mahkamah untuk jawab kes rasuah
TEL AVIV - Hampir lima tahun selepas pertuduhan rasuah dikenakan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pemimpin ekstremis itu akhirnya tampil di mahkamah pada Selasa setelah hakim menolak untuk menangguhkan prosiding tersebut.
Perbicaraan itu diadakan di ruang bawah tanah di Mahkamah Daerah Jaffa atas alasan keselamatan.
Sejak beberapa bulan lalu, Netanyahu cuba berdolak-dalik dan menggunakan alasan 'sibuk' dengan Perang Gaza dan operasi ketenteraan di Lubnan kerana mahu menunda tarikh bagi memberi keterangan terhadap tiga kes jenayah berasingan termasuk penipuan dan pecah amanah.
Antara yang akan tampil di kandang saksi adalah bekas pembantu rapat beliau.
Difahamkan, kali terakhir Netanyahu hadir di mahkamah adalah pada Jun 2023.
"Saya tidak akan melarikan diri lagi. Saya menunggu selama lapan tahun untuk membuka mulut bagi menepis dakwaan tidak berasas itu," katanya pada Isnin ketika cuba mempertahankan lagi dirinya yang turut berdepan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Prosiding itu yang bermula sejak Mei 2020 dijadualkan berlangsung selama beberapa bulan dan proses itu mungkin mengambil masa lebih lama jika Netanyahu mengemukakan rayuan.
Kumpulan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan 'Netanyahu ke penjara' bersama puak penyokong beliau turut berhimpun di luar mahkamah manakala perbicaraan itu dihadiri beberapa anggota haluan kanan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!