94 individu terima darjah, bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 94 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata daripada jumlah itu, dua individu menerima Darjah Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Dato’ Seri' bagi lelaki dan 'Datin Paduka Seri' bagi wanita.

Beliau berkata, seorang dianugerahkan Darjah Kelas Pertama Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.l.S.) yang membawa gelaran 'Dato’ Setia' bagi lelaki dan 'Datin Paduka Setia' bagi wanita manakala 11 individu menerima Darjah Kelas Kedua – Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Dato' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

"Sebanyak 15 individu menerima Darjah Kelas Kedua Dato' - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.l.S.) yang turut membawa gelaran 'Dato’ bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haris berkata, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S) kepada seorang penerima.

Dalam pada itu, 11 individu masing-masing menerima Darjah Kebesaran - Setia Mahkota Selangor (S.M.S) dan Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 16 penerima, Darjah Kebesaran Ahli - Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) (17 individu), Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (dua individu) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) (tujuh individu).

Artikel Berkaitan:

Haris berkata kerajaan negeri menerima 2,593 pencalonan tahun ini dan daripada jumlah itu, 1,121 ialah pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,472 untuk Pingat-Pingat Negeri Selangor.

Kesemua 94 individu itu, katanya telah melepasi tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!