Israel lancar perang baharu di Syria?

Api marak dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas IDF memperhebatkan serangan udara hingga awal pagi Selasa. Foto Agensi
Api marak dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas IDF memperhebatkan serangan udara hingga awal pagi Selasa. Foto Agensi
A
A
A

DAMSYIK - Rejim Zionis melancarkan lebih 300 serangan udara ke atas Syria ketika komuniti antarabangsa memberikan tumpuan terhadap perkembangan situasi di negara bergolak itu susulan penggulingan Presiden Bashar al-Assad pada akhir minggu lalu.

Data itu direkodkan Pusat Pemerhati untuk Hak Asasi Manusia (SOHR) sepanjang tempoh 48 jam sejak kempen pengeboman diperhebatkan ke atas Damsyik.

"Israel telah memusnahkan kemudahan penting tentera termasuk lapangan terbang, gudang, skuadron pesawat, radar stesen isyarat tentera dan depot senjata di pelbagai lokasi.

"Ia turut menyasarkan kemudahan pertahanan udara dan kapal Tentera Laut Syria di bandar pelabuhan Latakia.

"Hujan bom semakin bertalu-talu di ibu kota dan kawasan sekitarnya yang jelas menyasarkan infrastruktur tentera sejak ia menceroboh zon penampan di sempadan," ujar SOHR selaku pemantau situasi perang di negara itu.

Sejak Ahad, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengerahkan unit kereta kebal dan infantri ke kawasan timur Bukit Golan yang diduduki sejak hampir enam dekad lalu.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar memberi alasan ia kononnya langkah sementara untuk keselamatan.

Pengkritik bagaimanapun percaya Zionis sebenarnya cuba mengambil peluang daripada kekosongan kuasa di Damsyik untuk melancarkan peperangan baharu yang dikhuatiri memburukkan lagi situasi di rantau Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, pemimpin puak pemberontak telah mula mengadakan rundingan tentang proses pemindahan kuasa setelah pakatan itu kini menguasai ibu kota, sekali gus menumbangkan legasi Assad yang telah memerintah selama lebih lima dekad.

Pemimpin puak itu, Abu Mohammed al-Jolani yang kini menggunakan nama sebenar, Ahmed al-Sharaa betemu dengan Perdana Menteri, Mohammed al-Jalali untuk menyelaraskan usaha tersebut bagi memenuhi kehendak rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, penyelamat Helmet Putih membebaskan tahanan yang kebanyakannya penentang rejim Assad dari penjara Saydnaya di luar Damsyik.

"Terdapat sebahagian banduan ditempatkan di ruang bawah tanah. Masih ada tiga atau empat tingkat lagi. Kami sedang menjejaki jika ada pintu rahsia ke ruang tersebut," kata jurucakapnya.

Susulan pembebasan mereka, kebanyakan jalan di Damsyik dibanjiri tahanan dalam keadaan menyedihkan malah ada yang cacat fizikal akibat diseksa dan kurus kering kerana dibiarkan kebuluran untuk tempoh yang lama. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!