Luaskan peluang kerjaya kepada belia untuk elak terlibat rasuah
SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada golongan belia agar kumpulan itu tidak mudah terjebak dengan jenayah rasuah.
Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B (M) Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, perkara itu penting agar golongan tersebut memperolehi kestabilan kewangan dan mempunyai kemahuan diri untuk memperbaiki kualiti hidup.
“Tanpa akses kepada peluang ini, belia mungkin melihat rasuah sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah kewangan.
“Jadi, kita perlu pastikan mereka mempunyai peluang pekerjaan dan berkembang secara profesional, secara tidak langsung ini akan menambah baik pertumbuhan ekonomi dalam kalangan masyarakat serta negara secara keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 2,337 individu terdiri daripada golongan belia ditahan terlibat dalam pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun lalu.
Katanya, keseluruhan angka tersebut melibatkan individu berumur antara 16 hingga 40 tahun dan statistik demikian merupakan jumlah yang dicatatkan bermula 2020 sehingga tahun ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, isu tersebut menjadi cabaran besar kepada kerajaan untuk membentuk generasi belia yang berintegriti.
“Statistik yang dikongsikan oleh SPRM menunjukkan perlunya tindakan menyeluruh bagi menangani masalah ini, bukan hanya melalui penguatkuasaan tetapi juga melalui pendidikan dan kesedaran.
“Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan melalui sayap Gerak Remaja 4B Wilayah Persekutuan memainkan peranan aktif dalam mendidik golongan remaja mengenai bahaya rasuah. Kami percaya, pencegahan perlu bermula daripada akar umbi dengan memperkukuhkan nilai murni, integriti dan kesedaran moral,” ujarnya.
Tambah Abdul Hakim, melalui program seperti kem kepimpinan, bengkel integriti dan aktiviti kesukarelawan juga mampu melahirkan belia yang sedar akan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!