Dua pelancong maut, pokok besar tumbang di lokasi popular Bali
DENPASAR - Sekumpulan pelancong asing yang sedang menikmati percutian di kawasan pelancongan popular di Pulau Bali, Indonesia dikejutkan dengan insiden sebuah pokok besar tumbang, lalu mengakibatkan kecederaan dan kematian.
Dalam kejadian pada tengah hari Selasa di Monkey Forest, Ubud itu, dua lelaki warganegara asing disahkan terkorban sementara seorang lagi mengalami kecederaan.
Portal berita Kompas melaporkan, pihak polis Gianyar mengesahkan, dua pelancong asing yang maut itu berasal dari Korea Selatan bernama Kim Hyoeun, 42, dan warga Perancis iaitu Justine Christine, 32. Seorang lagi mangsa yang cedera juga berasal dari Korea Selatan.
"Terdapat salah satu pokok tumbang dan menimpa pengunjung di Monkey Forest. Saat ini tercatat dua orang meninggal dan satu dalam keadaan cedera," ujar kenyataan dari polis.
Buat masa ini, pihak berkuasa telah mengarahkan supaya kawasan pelancongan itu ditutup buat sementara waktu, dan siasatan kini dijalankan berkaitan punca pokok besar itu tumbang.
Monkey Forest terkenal dalam kalangan pelancong yang mahu berkunjung ke tapak kuil tradisional yang terletak dalam kawasan tanah rimba, dan sering kali 'disapa' dengan gelagat kawanan monyet dan kera di situ.
Dalam pelbagai video yang kini tular di media sosial, kelihatan sekumpulan pelancong asing lari bertempiaran apabila menyedari sebuah pokok yang tinggi dan besar tumbang ke arah laluan legar di lokasi tarikan itu.
Ada beberapa pelancong yang sempat menyelamatkan diri manakala ada yang terperangkap di bawah rimbunan dahan dan ranting yang menghempap.
Berkait insiden berkenaan, Ketua Perhubungan Masyarajat Polis Daerah Bali, Jansen Avitus, menasihatkan orang ramai dan para pelancong supaya berwaspada semasa keluar dari rumah. Dilaporkan, Bali ketika ini turut menerima tempias musim monsun, dan banyak kawasan di sekitar pulau peranginan itu yang dibadai hujan lebat dan angin kencang.
Memetik katanya dari laporan Kompas, cuaca buruk seumpamanya kerap mencetuskan risiko tinggi, terutamanya di daerah yang banyak terdapat pokok-pokok besar di pinggir jalan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!