Jangan tipu pendapatan untuk sedikit bantuan persekolahan
BARU-baru ini rakan Merak Jalanan berkongsi kisah mengenai sikap segelintir ibu bapa tergolong dalam kalangan ‘orang kaya’ tapi sibuk pula nak berebut untuk dapatkan bantuan sekolah yang sepatutnya milik anak ‘orang biasa-biasa’.
Dia mempersoalkan tindakan sesetengah ibu bapa yang tamak dan tidak malu menerima bantuan yang bukan hak, sehingga menyebabkan murid yang berhak mendapatnya tiada peluang.
Benar, di mana-mana sekalipun bila ada peluang, maka wujudlah kelompok individu suka mengambil kesempatan atau menipu untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan yang bukan hak mereka.
Sebenarnya perihal ibu bapa yang tergamak menipu atau tidak jujur ketika mengisi ruangan maklumat pendapatan dalam sistem maklumat murid terutama yang tiada slip gaji atau bekerja sendiri memang berlaku.
Memanipulasi maklumat demi mendapatkan bantuan kerajaan.
Ada yang sewenang-wenangnya declare pendapatan bulanan hanya RM1,500 hingga RM2,000, walhal sebenarnya lebih daripada itu.
Maka, lepaslah anaknya masuk tadika Kemas, masuk pra sekolah, dapat Rancangan Makanan Tambahan dan segala jenis bantuan lagi.
Ada juga ibu bapa, kedua-duanya bekerja tetapi hanya menyatakan bapa sahaja bekerja. Itu pun tak jujur juga.
Jika bantuan persekolahan itu memang diberikan kepada semua level pendapatan secara automatik dan sama rata, itu tak mengapa.
Tak ada siapa pun mahu mempertikaikan.
Di sinilah peranan guru sangat penting. Kalau rajin, bolehlah buat sport check rumah ibu bapa murid yang ‘meragukan’.
Manalah tahu mungkin di situ akan terbongkar kisah sebenar.
Bagi Merak Jalanan, tak berbaloi jika kita dapat satu-satu bantuan itu secara tak jujur. Lagipun kesannya besar kepada anak-anak terutama untuk keberkatan hidup sepanjang zaman.
Jadi, Merak Jalanan harap yang pernah buat perkara tersebut, semoga mereka insaf.
Yang belum buat, jangan buat dan kepada yang jujur, alhamdulillah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!