Anak OKU anugerah tidak ternilai
DEFINISI orang kurang upaya (OKU) mengikut Akta OKU 2008 ialah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria apabila berinteraksi dan terdapat pelbagai halangan sehingga boleh menyekat penyertaan penuh dalam masyarakat.
Merujuk laporan media sebelum ini, terdapat 691,630 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Januari 2024.
Namun, apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah mengenai kes penderaan melibatkan OKU di Malaysia.
Anak adalah anugerah, namun memiliki anak tergolong sebagai anak OKU kadangkala jauh di sudut sanubari, tidak ramai yang dapat menerima kehadiran anak sebegitu dalam kehidupan.
Melihat gelagat anak OKU menangis dan menjerit tiba-tiba, berlari ke sana sini, ada pula meronta-ronta dalam kerusi roda, pastinya memberikan cabaran kepada ibu bapa.
Tidak hairanlah jika ada yang gagal mengawal diri sehingga bertindak di luar batasan, maka berlakulah kes-kes seperti pengabaian dan penderaan.
Jika masih ingat pada Julai 2021, negara digemparkan dengan kes penderaan di sebuah rumah jagaan di Kuala Lumpur membabitkan mangsa OKU, dikenali sebagai Bella.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023 menjatuhkan huku-man penjara 12 tahun ke atas pengasas rumah jagaan berkenaan, Siti Bainun Ahd Razali selepas disabitkan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja OKU tersebut.
Pada 2 November 2023 pula, tiga beranak dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret Gemas, Negeri Sembilan kerana didapati mendera seorang wanita OKU berusia 21 tahun.
Hukuman penjara 36 bulan dan dua sebatan dikenakan terhadap teman lelaki OKU berkenaan kerana didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan playar, puntung rokok dan minyak petrol.
Ibu kepada teman lelaki pula dikenakan penjara 12 bulan dan denda RM5,000 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita OKU itu menggunakan besi spanar pembuka tayar.
Adik kepada teman lelaki juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu dengan menggunakan batang penyapu dan dikenakan hukuman penjara 24 bulan serta denda RM4,000.
Sebelum itu pada 25 Mac 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat menilai laporan siasatan polis dan hospital berhubung kes tiga beradik lelaki dipercayai didera di Kangar, Perlis.
Ia berkaitan laporan mengenai mangsa termasuk dua OKU ditemukan penduduk kampung dalam keadaan lemah dengan kaki berantai di Simpang Empat.
Beberapa contoh kes di atas sangat menyentuh hati masyarakat sehingga ada yang terkesan termasuk melakukan gerakan solidariti ke atas mangsa, antaranya Bella.
Ia secara tidak langsung membuktikan masih wujud segelintir individu yang tergamak memperlakukan OKU sedemikian rupa.
Cukuplah beberapa kes yang penulis kongsi dan jadikan pengajaran buat kita semua agar tidak mengulangi kesilapan dalam menyantuni dan melayani OKU sebaik mungkin.
Jika rasa tak mampu, mohonlah bantuan orang ketiga kerana penjaga terutama ibu bapa juga perlu penjagaan mental yang sihat agar tidak hilang kawalan sehingga tergamak melakukan perbuatan melampaui norma kehidupan.
Seperti kata-kata bekas Senator, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff pada Program Santai Petang anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Petani baru-baru ini, anak OKU dalam sesebuah keluarga adalah anugerah tidak ternilai yang patut dibelai penuh kasih sayang.
Menurutnya, kekuatan ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti OKU menyantuni golongan berkenaan menunjukkan besarnya pengorbanan mereka serta dituntut agama.
Ketidaksempurnaan anak OKU bukanlah sesuatu yang disengajakan mahupun minta diciptakan sebegitu, akan tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul.
Anak OKU merupakan pemberian yang harus dijaga dan diberi kasih sayang sewajarnya.
* Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!