Che Ta jual baju terpakai menerusi siaran langsung TikTok
KETIKA dilanda kontroversi hutang RM1 juta, aktres terkenal, Rozita Che Wan tampil menjual baju terpakai secara langsung di aplikasi TikTok miliknya.
Menerusi siaran langsung itu, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta mempromosikan baju terpakai miliknya serta ahli keluarga lain.
Kemunculan Che Ta nyata menarik tontonan lebih 20,000 pengguna selain mendapat kira-kira 200,000 tanda suka.
Siaran langsung tersebut bermula jam 9 malam dan ia belum selesai ketika artikel ini ditulis pada 12.50 malam pada Selasa.
Menerusi ruangan komen siaran langsung berkenaan, ramai warganet bertanya tentang isu hutang tersebut malah Che Ta dilihat tidak menghiraukan komen-komen terbabit serta hanya fokus terhadap barang jualannya.
Ujarnya, jualan baju-baju berkenaan adalah untuk mengosongkan rak di premis miliknya.
Katanya juga, dia sudah lama membuat jualan seperti itu namun di platform lain sejak 2016.
Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersama peguam dan wakil mahkamah menyerbu kediaman Rozita di Kota Damansara berikutan pelakon tersebut didakwa gagal melunaskan hutang pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Selain membuat penilaian harga, pelbagai barangan peribadi bernilai hampir RM100,000 milik pelakon itu turut disita sementara menunggu proses lelongan yang dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!