'Hutang minta hutang'
SUDAH menjadi satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia kini untuk berbelanja mengikut gaya hidup serta trend terkini dan bukannya berdasarkan kemampuan kewangan.
Keadaan itu menyebabkan ramai yang terjebak dalam ketagihan hutang. Kadangkala belum habis membayar pinjaman lama, ditambah pula hutang baharu.
Bila bicara pasal hutang teringat pula lagu Hutang Minta Hutang nyanyian Allahyarham Datuk M Daud Kilau berbunyi lagak senang hidup mewah semuanya hutang, siang malam pagi petang menambah hutang.
Pelbagai masalah yang timbul daripada amalan berhutang sebenarnya berpunca daripada sikap individu sendiri.
Bebanan hutang terutama di usia muda amat bahaya kerana boleh menjerumus golongan tersebut ke situasi bankrap apabila ia tidak lagi mampu dibayar disebabkan bebanan kewangan yang tinggi mahupun kenaikan kos kehidupan.
Hal demikian juga dikhuatiri akan mendedahkan golongan berhutang mengambil jalan pintas dengan membuat pinjaman along yang sangat menindas masyarakat dan bahaya.
Selain itu, bagi golongan muda dan sudah berkeluarga juga, bebanan hutang boleh menyebabkan konflik rumah tangga jika pasangan masing-masing tertekan dengan kualiti hidup disebabkan dengan bebanan hutang yang tidak diurus dan mampu dibayar.
Setiap umat Islam yang berhutang perlu meletakkan keazaman untuk melunaskan hutang dengan kadar segera.
Elakkan budaya menangguh bayaran hutang kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada pemiutang.
Justeru, setiap orang perlu melakukan muhasabah diri dan berfikir secara teliti sebelum berhutang.
Sekiranya benar-benar perlu berhutang dan yakin bahawa ia dapat diuruskan dengan sebaiknya, maka ia tidak menjadi halangan dalam agama.
Sebaliknya bagi individu yang tidak berdepan dengan keadaan terdesak untuk berhutang malah khuatir tidak mampu menguruskan hutang tersebut maka mereka perlu mengelak daripada membuat hutang.
Justeru, golongan muda terutamanya elakkan diri daripada hidup bergaya melebihi kemampuan. Fikir sedalamnya tentang perbezaan barangan keperluan hidup dengan kehendak.
Terapkan budaya dan disiplin dalam diri untuk menabung bagi persediaan dalam kes kecemasan serta peningkatan kos sara hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!