[VIDEO] Bil elektrik cecah RM17,000, tiga beranak tinggal bergelap di rumah PPR
SEREMBAN - Siapa sangka di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Senawang di sini, adanya tiga beranak yang terpaksa tinggal dalam keadaan kegelapan dan kepanasan sejak lebih setahun ini.
Ia selepas bekalan elektrik rumah Norazlina Bakri, 42 dipotong berikutan berlaku tunggakan bil mencecah RM17,000 dipercayai berpunca daripada kebocoran elektrik.
Dia mendakwa masalah itu berlaku selepas tiga bulan berpindah di situ apabila bil elektrik rumahnya secara tiba-tiba melambung sehingga RM700.
"Saya berpindah ke sini pada 2019 dan kira-kira selepas tiga bulan, bil elektrik rumah melambung sehingga RM700 yang mana sebelum itu biasanya antara RM80 ke RM100 lebih saja.
"Saya buat aduan kepada TNB mengenai itu dan saya diberitahu kemungkinan ada kebocoran elektrik. Katanya akan datang periksa, tapi sampai sekarang tiada," katanya ditemui di rumahnya pada Selasa.
Dari bulan ke bulan kata Norazlina, bil elektrik rumahnya semakin tinggi sehinggalah seminggu sebelum Aidilfitri tahun lalu, elektrik rumahnya telah dipotong.
Dia yang telah habis daya cuba menyelesaikan masalah tersebut dan pada masa sama tidak mahu menyusahkan keluarga terus memilih untuk tinggal di situ bersama anak berusia lapan dan empat tahun.
"Kalau pada waktu malam, saya guna 'powerbank' untuk hidupkan lampu kalimantang dan juga terpaksa guna lampu yang boleh dicas.
"Setiap hari, kami tumpang cas powerbank dan lampu di surau atau kedai dobi. Itulah rutin saya dan anak-anak sejak hampir setahun lalu," katanya.
Melihat raut wajah wanita ini jelas dia menyimpan seribu kesedihan lebih-lebih lagi dua anak yang masih kecil terpaksa tinggal dalam keadaan begitu.
Lebih memburukkan lagi keadaan, suami yang selama ini dijadikan tempat bergantung terlibat pula dalam kemalangan dan mengalami patah kaki.
"Saya sedih kerana anak-anak terpaksa lalui kehidupan begini. Tapi mujurlah mereka faham kesusahan yang dialami.
"Kadang-kadang bila saya nak bagi duit belanja, dia suruh simpan untuk bayar bil," katanya.
Ujarnya, dua lagi anak berusia 17 dan 10 tahun terpaksa tinggal bersama nenek di Paroi Jaya kerana lebih dekat untuk ke sekolah.
Bagi meneruskan hidup, ibu kepada empat anak itu kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ujarnya, dia sebelum ini bekerja kedai makan, tetapi terpaksa berhenti kerana tiada kenderaan untuk berulang alik.
"Motosikal suami pula rosak teruk selepas terbabit kemalangan dan kereta kami pula yang dihantar di bengkel ditarik oleh Majlis Bandaraya Seremban kerana pihak bengkel parkir di tempat tidak dibenarkan.
"Kereta itu kami terpaksa tinggal lama di bengkel kerana tiada duit untuk bayar kos baik pulih dan sekarang kalau ada kawan minta bantu memasak untuk katering, saya buatlah," katanya.
Norazlina berkata, dia sememangnya ada perancangan untuk mencari rumah lain, tetapi mengenang rumah sekarang adalah rumah sendiri, dia tangguhkan hasrat itu.
Ia ditambah pula dengan keadaan hidupnya sekarang yang ibarat kais pagi makan pagi selain perlu menyediakan wang deposit dan sewa rumah.
"Terus terang saya tertekan dan tak larat hidup macam ini ditambah pula anak-anak sedang membesar," katanya.
Malah rumah keluarga ini juga tiada bekalan air selepas ia dipotong dan kini terpaksa mengharapkan ihsan jiran untuk menggunakan air.
Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) Zulkifli Muhamed berkata, dia mengetahui masalah keluarga terbabit selepas dimaklumkan oleh kepimpinan setempat.
"Kita sebenarnya nak cuba membantu keluarga ini membayar tunggakan, tapi jumlahnya diluar kemampuan persatuan.
"Bil air rumah ini juga tertunggak lebih RM400 dan dia juga mempunyai denda kira-kira RM1,000," katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi berharap masalah dihadapi keluarga berkenaan dapat diselesaikan.
Sehubungan itu katanya, sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 012-3605143 dan yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank Norazlina 1551 2719 8492.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!