Program AI untuk Rakyat capai 1.3 juta peserta
KUALA LUMPUR - Program AI untuk Rakyat yang diperkenalkan kerajaan telah mencapai seramai 1.3 juta peserta daripada pelbagai kumpulan termasuk pelajar, profesional dan pegawai kerajaan sehingga 9 Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, program itu adalah selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan strategi IR 4.0, dengan menekankan pembinaan populasi yang celik teknologi, memupuk inovasi dan mengurangkan jurang kemahiran digital.
Menurutnya, susulan kejayaan 'AI untuk Rakyat', Kementerian Digital akan melancarkan platform pembelajaran dalam talian yang baharu iaitu 'Rakyat Digital' pada 12 Disember ini.
“Program Rakyat Digital adalah inisiatif yang bertujuan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan pengetahuan digital yang penting untuk berkembang dalam ekonomi digital yang sentiasa berubah.
“Menerusi platform ini, setiap lapisan masyarakat boleh mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk AI.
“Ia sebagai satu saluran pembelajaran interaktif bagi memperluas pengetahuan umum berhubung teknologi digital serta membina bakat baharu mengikut modul khusus yang disediakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang bertanyakan tentang pencapaian program 'AI untuk Rakyat' dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.
Tambah Wilson, Kementerian Digital juga mengambil perhatian berhubung aspek pembelajaran AI dibangunkan secara holistik dan inklusif di setiap peringkat merangkumi institusi pendidikan, sektor swasta dan Kerajaan.
Menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan atau National AI Office (NAIO) yang baru sahaja ditubuhkan, Kementerian Digital akan bekerjasama dengan setiap entiti tersebut bagi merangka modul pembelajaran AI bersesuaian mengikut kumpulan sasar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!