Tipu jualan pisang dan kenderaan, lelaki warga emas ditahan

Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai menipu pasangan suami isteri berhubung penjualan pisang dan kenderaan jenis Toyota Innova berjumlah RM30,800 dalam kejadian di Kampung Pulau Pandan di Kuala Pilah. Foto hiasan 123rf, gambar kecil: Amran
Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai menipu pasangan suami isteri berhubung penjualan pisang dan kenderaan jenis Toyota Innova berjumlah RM30,800 dalam kejadian di Kampung Pulau Pandan di Kuala Pilah. Foto hiasan 123rf, gambar kecil: Amran
A
A
A

KUALA PILAH - Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai menipu pasangan suami isteri berhubung penjualan pisang dan kenderaan jenis Toyota Innova berjumlah RM30,800 dalam kejadian di Kampung Pulau Pandan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Abd Gani berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan pada Selasa di daerah ini setelah mangsa membuat laporan polis pada hari sama.

"Berdasarkan siasatan, beberapa bulan lepas, suspek datang ke kebun mangsa untuk meminta kerja dan diberi upah RM100 untuk mesin rumput sehari, RM60 bagi setengah hari selain membantu kerja berkaitan di kebun tersebut.

"Suspek kemudiannya menjadi orang tengah menjual pisang dari kebun mangsa termasuk penjualan kenderaan Toyota Innova milik mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, bagaimanapun, sudah dua bulan suspek tidak memberikan wang hasil jualan berkenaan kepada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan sebelum bertindak melarikan diri.

"Seminggu sebelum suspek melarikan diri, dia dikatakan memberikan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) namun rupanya ia tidak lagi aktif.

"Suspek berjaya ditahan dan kini direman selama sehari bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Selasa tular di Facebook satu perkongsian mengenai kes penipuan berkenaan yang mana mangsa meminta bantuan orang ramai bagi mengesan suspek.

Artikel Berkaitan:

Menerusi perkongsian tersebut, mangsa meluahkan rasa kecewa apabila niat untuk membantu lelaki berkenaan bertukar sebaliknya sehingga mengalami kerugian bernilai RM30,800.

Katanya, lelaki tersebut gagal dikesan walaupun telah berusaha menghubunginya termasuk mencari di kediamannya di Kuala Pilah.

"Sesiapa yang mengenali atau tahu di mana dia berada, sila hubungi kami. Kami mencari rezeki yang halal, menunggu pisang berbuah selama setahun dengan modal yang sangat besar, kehilangan wang sebanyak itu sangat besar ertinya bagi kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!