Kerajaan sedang muktamadkan pindaan RUU atasi mat rempit

MOT sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan tafsiran yang jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di atas jalan raya. Gambar hiasan
MOT sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan tafsiran yang jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di atas jalan raya. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan tafsiran yang jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di atas jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pindaan itu bertujuan untuk menjadi satu bentuk pencegahan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram.

“Draf pindaan melibatkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] ini telah dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.

“Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanyakan cara atau tindakan paling berkesan yang boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.

Tambah Hasbi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa bekerjasama untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan.

Jelasnya, antara yang dilakukan ialah Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Op Samseng Jalanan) dijalankan secara berterusan dengan kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan konsesi lebuh raya.

Artikel Berkaitan:

“Fokus utama adalah untuk menahan dan mendakwa individu yang terlibat dalam aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya di jalan awam.

“Pengawasan dan pemantauan melalui media sosial juga dibuat, dengan pihak JPJ dan JSPT (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) sedang meningkatkan pemantauan terhadap kumpulan dan individu yang terlibat aktif dalam gejala mat rempit.

“Pemantauan ini turut melibatkan di kawasan panas yang sering menjadi tempat perhimpunan dan aktiviti mat rempit bagi tujuan pengesanan dan pengumpulan bukti,” ujar beliau.

Jelasnya, pendidikan dan kempen kesedaran melalui program seperti Op Didik yang dijalankan bersama-sama dengan pihak sekolah, universiti dan masyarakat umum pula untuk mendidik golongan muda mengenai bahaya aksi berbahaya di jalan raya diteruskan.

“MOT melalui JPJ juga akan melaksanakan kerjasama berterusan bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi seperti penjualan dan pengubahsuaian ekzos paip, tayar sotong, tayar kecik, CDI, ECU dan sebagainya.

“JPJ juga telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan melalui penyitaan bagi kesalahan seperti ubah suai ekstrem, rempit dan lumba haram. Pelupusan terhadap kenderaan yang telah disita atas alasan pengubahsuaian motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal yang lain.

“Kerajaan juga akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan efektif bagi membendung kesalahan di jalan raya khususnya aktiviti perlumbaan haram membabitkan golongan remaja atau gejala mat rempit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!