Program Digital Rakyat dilancar esok

Wilson Ugak Kumbong. Foto Bernama
Wilson Ugak Kumbong. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Digital akan melancarkan Program Digital Rakyat esok, iaitu platform pembelajaran dalam talian bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat seiring perkembangan ekonomi digital masa kini.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, program itu membolehkan masyarakat mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk bidang kecerdasan buatan (AI).

"Ia bertujuan sebagai saluran pembelajaran interaktif untuk memperluaskan pengetahuan umum mengenai teknologi digital serta membina bakat baharu berdasarkan model khusus yang disediakan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai pencapaian program AI Untuk Rakyat dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.

Menurut Ugak, Program Digital Rakyat diwujudkan susulan kejayaan inisiatif AI Untuk Rakyat yang telah menarik penyertaan 1.3 juta rakyat antaranya pelajar, kumpulan profesional dan pegawai kerajaan.

AI Untuk Rakyat yang dilancarkan pada 16 Januari lepas, adalah selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan Strategi IR4.0 yang memberi tumpuan kepada pembinaan populasi celik teknologi, memupuk inovasi, serta mengurangkan jurang kemahiran digital.

Pada masa sama, Ugak berkata, Kementerian Digital mengambil perhatian serius berhubung aspek pembelajaran AI yang dibangunkan secara holistik dan inklusif di setiap peringkat merangkumi institusi pendidikan, sektor swasta dan kerajaan.

Menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang baharu ditubuhkan, beliau berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan setiap entiti bagi merangka model pembelajaran AI yang bersesuaian mengikut kumpulan sasar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!