Tenaga hijau dijual kepada Singapura merupakan lebihan TBB dalam negara - Akmal
KUALA LUMPUR - Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang dibekalkan kepada Singapura bermula bulan ini adalah lebihan bekalan tenaga elektrik hijau dalam negara yang tidak digunakan ketika ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, justeru itu kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat dalam negara untuk beralih kepada penggunaan tenaga elektrik hijau.
"TBB yang kita jana ketika ini masih ada lebihan dan kita memang menggalakkan lebih banyak syarikat yang hendak memenuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memilih penggunaan tenaga hijau," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkaitan kebimbangan penjualan TBB kepada Singapura dan peningkatan permintaan dari pusat data dalam negara, yang dikhuatiri boleh menghalang Malaysia daripada mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) komited untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara daripada 28 peratus pada masa ini kepada 31 peratus pada 2025, 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti TBB secara berperingkat dan terancang merupakan langkah persediaan Petra dan Suruhanjaya Tenaga untuk memenuhi permintaan tenaga elektrik hijau yang diperlukan pusat-pusat data, selain menjadi satu daripada syarat menggalakkan pelaburan baharu bernilai tinggi ke negara ini.
"Program TBB sedia ada akan diteruskan dengan penambahbaikan di samping memperkenalkan program TBB baharu bagi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara," katanya.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata, bagi membolehkan syarikat korporat mendapat akses kepada bekalan elektrik hijau yang lebih mudah secara terus daripada penjana TBB, kerajaan telah memperkenalkan Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).
Program ini membolehkan syarikat korporat, termasuk pusat data, mendapatkan bekalan elektrik hijau secara terus daripada penjana TBB menerusi rangkaian grid utiliti.
Beliau menjawab soalan asal Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai kesiapsiagaan ekosistem bekalan tenaga awam dan swasta negara dalam membekalkan tenaga hijau untuk operasi pusat data. - Bernama
Penggunaan tenaga elektrik pusat data dijangka meningkat sehingga 20.9 GW menjelang 2040
KUALA LUMPUR - Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) menjangkakan keperluan bekalan elektrik bagi pusat data meningkat sehingga 20.9 gigawatt (GW) menjelang 2040.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran itu diperoleh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang turut mengunjurkan keperluan bekalan elektrik bagi pusat data menjelang 2030 berjumlah kira-kira 7.7 gigawatt.
“Ia mengambil kira pembangunan kapasiti penjanaan baharu untuk baseload (beban asas) termasuk daripada sumber gas dan peningkatan penjanaan daripada sumber rendah karbon untuk memenuhi unjuran permintaan berkenaan.
“Sebagai langkah penyelesaian segera, Petra telah mengenal pasti juga loji janakuasa sedia ada untuk dilanjutkan tempoh operasi kerana pembinaan loji janakuasa gas yang baharu akan mengambil masa antara 4-5 tahun untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian tersebut di Dewan Negara pada Rabu.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, Petra juga sedang memberi tumpuan untuk merancakkan lagi pembangunan sumber tenaga boleh baharu (TBB).
Beliau berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan komposisi sistem bekalan elektrik hijau yang rendah karbon dalam sistem pembekalan elektrik negara serta memastikan aspirasi sifar bersih 2050 dapat dicapai.
“Bagi tujuan tersebut, kerajaan telah memperkenalkan program TBB seperti Self Consumption (SELCO), New Enhanced Dispatch (NEDA), Corporate Green Power Programme (CGPP), dan Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS)
bagi meningkatkan penjanaan dan akses pusat data kepada bekalan tenaga hijau.
“Kesemua initiatif ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik termasuk daripada sumber TBB untuk menampung permintaan bekalan elektrik dari pusat data,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!