Malaysia seru perpaduan, peralihan secara aman di Syria
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap perkembangan terkini di Syria, sambil menekankan kepentingan peralihan kuasa secara aman yang menghormati kepelbagaian masyarakat di negara itu.
Anwar menegaskan bahawa "keganasan perlu ditolak sepenuhnya" dan menyeru perpaduan sebagai asas dalam membina sebuah negara yang damai dan bersatu.
“Kami sudah tentu sangat mengambil berat tentang perkembangan di Syria dan memantau situasi setiap hari.
“Kami menyeru peralihan kuasa dilaksanakan secara aman, dengan menghormati kepelbagaian komuniti di Syria,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Kumpulan Visi Strategik: Rusia-Dunia Islam di sini, Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa perpecahan mazhab atau 'sectarian' perlu dielakkan, manakala perpaduan harus menjadi prinsip utama dalam usaha membangunkan semula negara.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk menyokong Syria yang merdeka dan bersatu,” katanya sambil menyeru solidariti antarabangsa dalam menangani krisis itu.
Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik: Rusia-Dunia Islam bertemakan 'Russia and the Islamic World: Cooperation in an Emerging Multipolar Era' menghimpunkan lebih 200 tokoh berpengaruh termasuk wakil badan kerajaan, politik, agama dan masyarakat dari 32 negara merangkumi Asia, Afrika, dan Timur Tengah serta organisasi antarabangsa.
Objektif utama mesyuarat itu adalah untuk membincangkan potensi hubungan antara Rusia dan negara-negara Islam dalam konteks landskap antarabangsa yang berubah pantas, dengan tumpuan kepada menetapkan parameter interaksi dalam dunia multipolar yang berkembang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!