Empat aduan sah kes buli, enam lagi dalam siasatan - KKM
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan empat aduan berunsur buli yang didapati berasas telah diambil tindakan tatatertib manakala enam lagi masih dalam peringkat siasatan untuk pengesahan serta pembuktian perbuatan tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 10 kes itu antara 355 aduan yang diterima setakat 30 September tahun ini menerusi sistem MyHELP sejak dilancarkan pada 1 Oktober 2022.
“Baki sebanyak 345 aduan lagi merupakan aduan berkaitan hal-hal perkhidmatan, permohonan kenaikan pangkat, pertukaran, kepincangan pengurusan, isu komunikasi dan lain-lain.
“Sistem ini sebagai saluran aduan utama bagi pegawai melaporkan terus kes buli kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan tanpa melalui Ketua Jabatan.
“Prosedur ini disediakan sedemikian bagi menegakkan prinsip ketelusan, kerahsiaan dan ketegasan dalam usaha KKM menangani kes buli,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Hulu Langat) mengenai statistik kes buli melibatkan pakar, pegawai perubatan termasuk pelatih dan paramedik serta kaedah menanganinya.
Tambah Dr Dzulkefly, tindakan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan lain yang berkuat kuasa.
Menurutnya, bagi petugas kesihatan yang menghadapi isu kesihatan mental termasuk buli, pihak kementerian menyediakan pelbagai saluran bagi membantu mereka mengatasi isu tersebut.
“Antaranya memberi sokongan emosi dan intervensi awal melalui Talian Krisis Kesihatan Mental, memperluas perkhidmatan kaunseling oleh pegawai psikologi terlatih serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab).
“Selain itu menyediakan platform digital, MyMinda menerusi aplikasi MySejahtera bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan mental.
“Mewujudkan Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) di peringkat negeri, daerah dan hospital yang akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti petugas kesihatan yang memerlukan bantuan awal psikologi,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!