FGV peruntuk RM800,000 bantu mangsa banjir, peneroka di Kelantan

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sejumlah RM800,000 diperuntukkan FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai dana untuk misi bantuan banjir di beberapa negeri yang terjejas pada tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, RM150,000 diberikan untuk Misi Bantuan ke Pantai Timur yang berlangsung pada Rabu hingga Jumaat ini melibatkan 1,200 keluarga.

Rastam
Rastam

"Barangan keperluan asas dan produk makanan keluaran FGV berjumlah RM120,000 seperti minyak masak, beras, krimer pekat, gula dan mi segera jenama Saji akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

"Selain itu juga, tiga institusi di Tumpat,Kelantan iaitu Masjid Masjid Hidayatul Musttaqim Mukim Pak Kerau, Masjid Al Mu'min Taman Sri Dalam Rhu, Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang akan menerima bantuan berjumlah RM10,000 setiap satu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Banjir FGV Holdings Berhad Ke Kelantan di Wisma FGV pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan.

Artikel Berkaitan:

Rastam
Rastam

Ujar Rastam, RM71,600 telah disalurkan sebagai bantuan awal kepada FELDA agar dapat meringankan beban peneroka dan membeli peralatan bagi persiapan menghadapi musim banjir tahun ini.

Menurutnya, baki peruntukan berkenaan juga akan dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya.

"Langkah ini diambil bagi memastikan kita sentiasa bersiap sedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau juga bersyukur kerana operasi kumpulan FGV terutama kawasan ladang pertubuhan tersebut tidak terjejas dengan teruk akibat bencana tersebut.

Jelasnya, meskipun beberapa ladang FGV di Terengganu sedikit terkesan, namun secara keseluruhannya operasi masih berjalan seperti biasa.

"Saya juga difahamkan, kebiasaannya hujan akan turun di sebelah petang dan keadaan ini membolehkan kerja-kerja menuai buah masih dapat dijalankan mengikut jadual.

"Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa berwaspada, beringat dan teruskan berdoa kepada saudara kita yang sedang terkesan dengan bencana ini," menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!