Anwar gesa tindakan global banteras sikap tidak bertoleransi, Islamofobia

Anwar ketika hadir mesyuarat Strategic Vision Group Russia-Islamic World pada Rabu. Foto Bernama
Anwar ketika hadir mesyuarat Strategic Vision Group Russia-Islamic World pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menggesa supaya diwujudkan satu usaha global bersepadu bagi menghayati nilai ihsan, keadilan dan kemanusiaan untuk membanteras peningkatan sikap tidak bertoleransi, perkauman dan Islamofobia.

Bercakap pada mesyuarat Strategic Vision Group Russia-Islamic World, Perdana Menteri berkata, isu-isu tersebut telah menjadi cabaran berterusan yang dihadapi oleh dunia Islam dan umat manusia secara umumnya, termasuk tragedi yang sedang melanda di Gaza dan kebangkitan fasisme serta perkauman di pelbagai wilayah.

Beliau menegaskan bahawa prinsip As-Samud, Rahmah dan Ihsan atau nilai toleransi, belas kasihan dan kemanusiaan mesti membimbing dunia Islam dalam menangani cabaran global.

"Kita fikirkan bahawa dengan pembangunan, kemajuan dan pengetahuan, akan wujud lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi, namun hakikatnya ini tidak berlaku.

“Ini adalah tempoh tragedi besar sedang menimpa umat manusia pada umumnya, dan kebanyakan membabitkan umat Islam, khususnya dari Gaza, dari Eropah di masa lampau, peningkatan kebangkitan fasisme, perkauman, sikap tidak bertoleransi, tindakan yang tidak berperikemanusiaan, kekejaman yang dilakukan kepada manusia, bukan hanya di Palestin dan Gaza khususnya, tetapi juga di banyak negara," katanya.

Anwar berkata, platform seperti mesyuarat Russia-Islamic World ini harus digunakan untuk mempromosi nilai-nilai ini kepada masyarakat antarabangsa kerana ia bukan sahaja relevan untuk dunia Islam, tetapi juga kritikal untuk masyarakat global.

"Kita mesti bekerjasama untuk menentang kebencian dan sikap tidak bertoleransi, memupuk dunia, dan manusia berkembang maju melalui persefahaman dan saling menghormati," katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di sini hari ini dan esok dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai platform untuk meneroka peluang kerjasama global sambil menangani isu-isu mendesak yang dihadapi oleh masyarakat Islam dan sejagat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Wawasan Strategik 'Rusia-Dunia Islam' dan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Rusia, Andrey Rudenko; Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohamed Salah Tekaya dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Osman Bakar.

Sementara itu, Anwar turut menekankan peranan pemimpin agama dan politik dalam menangani isu-isu ini.

Beliau memberi contoh tindakan pantas Malaysia dalam menangani sebarang insiden yang menyentuh sikap tidak bertoleransi dalam aspek agama, yang jelas menunjukkan komitmen negara untuk menegakkan maruah semua agama.

Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia adalah negara majoriti Islam dan Islam adalah agama Persekutuan, ia menyerlahkan amalan dan menjunjung tinggi nilai toleransi.

"Ia pengiktirafan kita bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan mereka, apa yang kita seru ialah mesej yang konsisten dan koheren dengan negara lain.

"Kita ambil semua langkah sebaiknya untuk memastikan umat Islam berpegang kepada kepercayaan mereka, tetapi pada masa yang sama, kita tunjukkan kesabaran dan toleransi yang tinggi, serta menghormati maruah lelaki dan wanita dari semua agama," kata Anwar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!