Pemandu pacuan empat roda maut

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori terbabit.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori terbabit.
A
A
A

RAUB - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Raub-Lipis dekat Kampung Kuala Atok di sini hari ini.

Mangsa, Muhamad Tajaruddin Mat Sahid, 46, yang memandu Toyota Land Cruiser meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori, Mohd Rozi Hassan, 51 dan kelindan, Syafik Aiman Shafie, 17 cedera.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang.

"Kelindan lori dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandu lori yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba seterusnya dihantar oleh ambulan ke Hospital Raub untuk menerima rawatan selanjutnya.

"Pemandu pacuan empat roda yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan pemotong hidraulik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!